20 Nov 2009 - Berita Harian
EKSTRA!
Peraduan solek di atas kapal
Oleh
Zawiyah Salleh
LAMBAIAN pohon-pohon yang menghijau, pelbagai jenis bunga yang berwarna-warni dan pancaran cahaya matahari yang menyinari alam sekeliling seolah-olah mewujudkan suasana nyaman dan permai di sebuah pulau.
Pemandangan yang indah ini akan diterapkan dalam solekan terutama di bahagian mata.
Tetapi bagaimana anda dapat melakukannya berdasarkan sekitaran menghijau dan berwarnawarni itu?
Inilah tema pertandingan solek yang diberi nama 'Mekap Keindahan Pulau' (Island Beauty Make-up) yang akan diadakan di sebuah kapal persiaran di terminal feri Marina South Pier pada 19 Disember ini anjuran syarikat alat-alat solek jenama Doll Me Up Cosmetics (DMU).
Menurut pemilik syarikat alat-alat solek itu, Cik Nazlin Hilal, 31 tahun, yang mengenalkan penjualan mekapnya melalui laman web dan kini mempunyai sebuah studio di Blok 201E Tampines Street 23, ini merupakan kali ketiga beliau menganjurkan kegiatan untuk para pelanggan sejak mekap itu diperkenalkan dua tahun lalu.
Ia bertujuan memupuk interaksi dengan pelanggan sambil mengenalkan pelbagai warna pembayang mata, gincu dan mekap terbaru.
'Untuk pertandingan di atas kapal ini, 12 peserta akan mengambil bahagian. Saya memberi tema Keindahan Pulau bagi membolehkan para peserta menggabungkan warna-warna yang unik yang sering dikaitkan dengan pulau.
'Contohnya, warna hijau yang membayangkan pepohon, dan pelbagai warna lain mambayangkan pelbagai jenis bunga dan bulu burung berwarna-warni boleh diterapkan dalam solekan bahagian mata agar kelihatan lebih menarik.
'Para peserta boleh memilih warna yang sesuai untuk menyolekkan model masing-masing,' kata beliau.
Selain pertandingan mekap, terdapat juga demonstrasi cara-cara mengubah wajah menerusi solekan yang lebih menyerlah seperti penggunaan warna pembayang mata yang kian bertambah, disesuaikan dengan gincu dan pemerah pipi.
Di majlis itu, beliau akan melancarkan pelbagai warna baru DMU untuk pembayang mata.
Sejak membuka studionya setahun lalu, para pelanggan bertambah bukan sahaja menerusi penjualan mekap, malah menerusi majlis jamuan malam dan tari dan majlis persandingan.
'Kian ramai pelanggan yang berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an yang datang ke studio untuk disolekkan bagi menghadiri majlis-majlis seperti itu.
'Saya dapati perusahaan mekap - daripada penjualan alat-alat solek hingga jurusolek - mendapat sambutan yang menggalakkan,' ujarnya.
Selain pertandingan solek dan jamuan makan, hadirin juga akan dihiburkan oleh Idola Asia, Hady Mirza. Bayaran untuk bersantai di atas kapal bersama DMU ialah $75 seorang manakala anggota kelab DMU pula $67.50.
Tiket-tiket yang dibeli boleh digunakan sebagai kupon diskaun bagi membeli alat-alat solek DMU dan pelbagai diskaun harga yang lain.
Jika berminat, sila lungsuri laman web http://www.dollmeupcosmetics.com atau hubungi Cik Nazlin melalui telefon 9645-4076.